Hairan, bagaimanakah anak yang masih mempunyai ibu bapa sanggup mengabaikan mereka. Mutakhir ini kita disajikan dengan pelbagai berita mengenai sikap buruk anak terhadap ibu bapa. Seorang anak yang berjawatan besar dilaporkan tidak pernah menjenguk ibu dan bapanya, malah langsung tidak mempedulikan mereka selama lebih tujuh tahun. Ada juga anak yang menjadikan ibu bapa sebagai hamba dengan meminta mereka menjaga anak-anak secara percuma. Lebih serius, ada ibu bapa yang menjadi mangsa sepak terajang anak, dan dibunuh oleh insan yang mereka sendiri lahirkan.
Berbuat baik dan bersyukur kepada ibu bapa bermakna membalas segala jasa yang dilakukan kedua-duanya terhadap anak dengan memberikan pertolongan serta memberi nafkah kepada mereka berdua setelah mereka tua dan uzur serta tidak lagi mempunyai sumber pendapatan. Keutamaan berbakti kepada kedua-dua ibu bapa adalah melebihi berjihad di jalan Allah seperti sabda Rasulullah SAW: “Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah bin Mas’ud beliau berkata: Aku bertanya kepada Nabi SAW amalan manakah paling disukai Allah SWT? Baginda menjawab, solat pada waktunya. Saya bertanya lagi, kemudian apa? Baginda menjawab, kemudian berbakti kepada kedua-dua orang tua. Saya bertanya lagi, kemudian apa? Baginda menjawab, jihad pada jalan Allah.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Jumhur ulama mazhab empat bersepakat bahawa nafkah ibu dan bapa adalah wajib ke atas anak-anak sama ada anak lelaki atau anak perempuan. Ulama sepakat bahawa ibu dan bapa yang berhak kepada nafkah ialah ibu bapa yang tidak berkemampuan, tidak mempunyai harta atau tidak mempunyai pekerjaan dan tidak mampu membiayai diri mereka sendiri. Pada pandangan Mazhab Hanafi dan Shafie, tidak bekerja bermaksud juga tidak berupaya untuk berkerja disebabkan oleh penyakit kronik, buta, tidak siuman dan cacat anggota badan dan anak yang wajib memberi nafkah kepada ibu bapa adalah anak yang berkelapangan sama ada mempunyai harta ataupun pekerjaan.
Ibu bapa tidak pernah mengharapkan wang ringgit anak, cuma pada usia senja mereka mengharapkan secebis perhatian daripada anak untuk menumpang kasih, sebelum dipanggil Allah SWT.
Mahkamah Syariah boleh memerintahkan seorang anak membayar nafkah ibu bapa atau keluarga yang lain, seperti dalam peruntukan Seksyen 60 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1984 yang berbunyi: ‘Mahkamah boleh memerintahkan mana-mana orang yang bertanggungan mengenai hal itu mengikut hukum syarak supaya membayar nafkah kepada seorang yang lain jika dia tidak upaya, sepenuhnya ataupun sebahagiannya, dari mencari kehidupan oleh sebab kerosakan otak atau jasmani atau tidak sihat dan Mahkamah berpuashati bahawa memandang kepada orang yang pertama tersebut itu adalah munasabah memerintahkan sedemikian.’
Peruntukan ini tidak begitu jelas dan tidak khusus kepada nafkah ibu bapa saja. Sudah sampai masanya satu peruntukan khusus berkaitan nafkah ibu bapa dimasukkan dalam undang-undang keluarga Islam negeri. Undang-Undang Keluarga Islam Kuwait 1984 boleh dijadikan panduan, ataupun Akta Penanggungan Ibu Bapa (APIB) 1995 di Singapura, atau Akta Pembiayaan Ibu Bapa 1998 di Filipina, selagi mana ia tidak bertentangan dengan hukum Syarak.
Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia.
-BH on9.

No comments:
Post a Comment